Di antara syarat mendirikan solat
ialah menyempurnakan kesucian yang menyeluruh terhadap anggota badan, pakaian
dan tempat solat. Kesucian ini termasuklah meratakan air wuduk ke seluruh anggota
serta melakukannya tiga kali tanpa membazir dan was-was.
Rasulullah ﷺ bersabda, “Allah
tidak menerima solat tanpa penyucian (wuduk)…” (Sahih Muslim
dan lain-lain)
Memperbaharui wuduk bagi setiap
solat adalah sunat, begitu juga dengan mengekalkan wuduk pada setiap waktu dan
masa adalah dituntut kerana yang demikian itu mengandungi berbagai manfaat.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Aku
mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya ummatku itu akan dipanggil
pada hari Qiamat dalam keadaaan bercahaya wajahnya dan amat putih bersih
tubuhnya dari sebab bekas-bekasnya berwuduk. Maka sesiapa di antara kamu yang
hendak menambahkan bercahayanya, maka baiklah ia melakukannya dengan
menyempurnakan berwuduk itu sesempurna mungkin.” (Muttafaq ‘alaih)
Daripada Usman bin Affan r.a.
katanya, Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesiapa yang berwuduk lalu menyempurnakan
wuduknya sesempurna mungkin, maka keluarlah kesalahan-kesalahannya sehingga
keluarnya itu sampai dari bawah kuku-kukunya.” (Riwayat Muslim)
Sunat Memperbaharui Wuduk
.
أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَوَضَّأُ عِنْدَ كُلِّ صَلَاةٍ
Anas bin Malik berkata, “Nabi ﷺ
berwuduk setiap kali ingin melakukan solat.”
(Hadis Riwayat al Bukhari r.a.)
Perbuatan Nabi ﷺ itu dinamakan ‘Tajdid
Wuduk’ iaitu memperbaharui wuduk. Adalah menjadi kewajiban ke atas Baginda
untuk berwuduk setiap kali hendak melakukan solat. Rasulullah ﷺ akan
mempermudahkan wuduk, iaitu kadang-kadang Rasulullah ﷺ tidak menyapu penuh kaki
Baginda dan hanya menyapu sahaja atas kaki Baginda. Macam sapu khuf juga,
bukanlah kena basuh kaki itu dengan sepenuhnya sebab bukanlah nak kena ambil
wuduk dengan sempurna.
Apabila Rasulullah ﷺ suka buat
sebegitu, maka ianya adalah perkara yang baik dan eloklah kalau kita dapat
turut melakukannya dengan wuduk
yang ringan. Dan apabila telah menjadi amalan Rasulullah ﷺ, tidaklah timbul
masalah samada ‘Tajdid Wuduk’ membazir atau tidak.
Walau bagaimana pun para sahabat dan
para tabein berpandangan hadis dan perbuatan ‘Tajdid Wuduk’ tersebut
hanya khusus kepada Rasulullah ﷺ.
Memperbaharui wuduk juga disunatkan
hanya apabila seseorang itu telah mendirikan solat fardhu atau sunat dengan
wuduknya yang pertama tadi. Ibnu Hajar Rahimahullah menegaskan bahawa tuntutan
sunat memperbaharui wuduk itu ialah apabila dia telah mengerjakan apa jua solat
sekalipun yang hanya satu rakaat.
Dalam pada itu juga, ulama mazhab
Syafi‘e telah sepakat mengatakan bahawa memperbaharui wuduk itu adalah satu
amalan yang dituntut mengikut keadaan tertentu. Orang yang tertidur nyenyak
juga disunatkan memperbaharui dan mengulangi wuduk mereka.
Makruh Memperbaharui Wuduk
Al-Qadhi Abu ath-Thaiyib di dalam
kitabnya Syarh al-Furu‘, al-Baghawi, al-Mutawalli, ar-Ruyani dan lain-lain
ulama mazhab memutuskan bahawa jika seseorang itu belum menggunakan wuduknya
yang pertama dengan melakukan apa jua ibadah, maka hukum memperbaharui wuduk
itu adalah makruh.
Jika seseorang itu tidak mendirikan
solat, walaupun telah melakukan Sujud
(Sajdah
atau Syukur)
atau pun Tawaf
tidaklah disunatkan memperbaharui wuduk, bahkan hukumnya adalah makruh.
Makruh juga memperbaharui wuduk, sekiranya berhadapan
dengan situasi musim kemarau, catuan dan kekurangan air. Di mana air tersebut
lebih diperlukan untuk kegunaan memasak dan minuman.
Mengekalkan Wuduk
.
Sesetengah ulama’ berpendapat tidak
perlu berwuduk melainkan kerana adanya benda yang keluar dari dua jalan keluar
iaitu qubul atau dubur.
حَدَّثَنِي عَمْرُو بْنُ عَامِرٍ عَنْ
أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَوَضَّأُ
عِنْدَ كُلِّ صَلَاةٍ قُلْتُ كَيْفَ كُنْتُمْ تَصْنَعُونَ قَالَ يُجْزِئُ أَحَدَنَا
الْوُضُوءُ مَا لَمْ يُحْدِثْ
Amru bin Amir menyatakan, aku
mendengar Anas bin Malik berkata, “Nabi ﷺ berwuduk setiap kali akan
solat.” Aku bertanya, “Bagaimana cara kamu (para sahabat) lakukan?” Anas bin
Malik menjawab, “Pada kami seseorang itu tidak perlu berwuduk selagi dia tidak
berhadas.” (Hadis Riwayat al Bukhari r.a.)
Abu Hurairah berkata, “Tidaklah
wajib mengulangi wuduk kecuali bagi orang-orang yang berhadas.” (Hadis
Riwayat Ubadah bin Tamim)
Firman Allah;
أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ
“…Atau salah seorang dari kamu
keluar dari tempat buang air (tandas).”
(Al-Maa’idah: 6)
Berkumur
.
أَخْبَرَنِي سُوَيْدُ بْنُ النُّعْمَانِ
قَالَ خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ خَيْبَرَ
حَتَّى إِذَا كُنَّا بِالصَّهْبَاءِ صَلَّى لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ الْعَصْرَ فَلَمَّا صَلَّى دَعَا بِالْأَطْعِمَةِ فَلَمْ يُؤْتَ إِلَّا بِالسَّوِيقِ
فَأَكَلْنَا وَشَرِبْنَا ثُمَّ قَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
إِلَى الْمَغْرِبِ فَمَضْمَضَ ثُمَّ صَلَّى لَنَا الْمَغْرِبَ وَلَمْ يَتَوَضَّأْ
Suwaid bin An Nu’man berkata, “Kami
telah keluar bersama Rasulullah ﷺ pada tahun Khaibar, apabila kami sampai di
suatu tempat bernama Shahba’, Baginda mengimami kami solat Asar. Selesai solat
Baginda minta makanan, namun tidak ada dibawakan kepadanya kecuali ‘sawiq’
(makanan dibuat dari gandum), lalu menyuruh makanan itu dibasahi. Selesai kami
makan dan minum, Nabi ﷺ pun berdiri untuk solat Maghrib, Baginda berkumur lalu
memimpin kami melaksanakan solat Maghrib tanpa berwuduk terlebih dahulu.”
(Hadis Riwayat al Bukhari r.a.)
Hadis di atas menunjukkan bahawa
Nabi ﷺ tidak mengambil wuduk setiap kali Baginda solat dan ada kalanya
Rasulullah ﷺ solat pakai satu wuduk sahaja dan ada tidak bersiwak pun, hanya
berkumur sahaja.
Maka, dari itu kita tahu bahawa
ianya adalah sunat sahaja kepada Baginda. Sama seperti kepada orang lain juga,
iaitu kalau buat, dapat pahala. Tapi Nabi ﷺ selalu melakukannya, cuma
kadang-kadang sahaja Baginda tidak buat kerana nak menunjukkan bahawa perkara
itu hanya harus untuk dilakukan.
Menyempurnakan Wuduk
.
Dari Abu Hurairah r.a pula,
bahawasanya Rasulullah ﷺ bersabda: “Sukakah engkau semua kalau aku
tunjukkkan akan sesuatu amalan yang dapat melebur semua kesalahan dan dengannya
dapat pula meningkatkan beberapa darjat?” Para sahabat menjawab: “Baiklah, ya
Rasululllah.” Baginda ﷺ lalu bersabda: “Iaitu menyempurnakan wuduk
sekalipun berhadapan beberapa hal yang kurang disenangi (seperti terlampau
sejuk dan sebagainya), banyakkan melangkahkan kaki untuk ke masjid dan
menantikan solat sesudah melakukan solat. Itulah yang disebut ‘ribath’
(perjuangan menahan nafsu untuk memperbanyak ketaatan pada Allah).” (Riwayat
Muslim)
Dari Umar bin al-Khaththab r.a. dari
Nabi ﷺ, sabdanya: “Tiada seorang pun dari kamu yang berwuduk lalu ia
menyampaikan iaitu menyempurnakan wuduknya, kemudian mengucapkan: “Asyhadu alla
ilaha illallah wah dahu la syarika lah, wa asyhadu anna Muhammadan ‘abduhu wa
rasuluh”, melainkan di bukakan sebanyak lapan buah pintu syurga untuknya. Ia
diperbolehkan masuk dari pintu manapun juga yang dikehendaki olehnya.”
(Riwayat Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya
Rasulullah ﷺ berkata kepada Bilal: ”Hai Bilal, beritahukanlah kepada
aku dengan suatu amalan yang paling engkau harapkan pahalanya serta yang engkau
amalkan dalam Islam, kerana sesungguhnya aku mendengar suara derap kedua
terompahmu di depanku di dalam syurga,” Bilal menjawab: “Aku tidak melakukan
sesuatu amalan yang lebih aku harapkan di sisiku daripada kalau aku habis
bersuci sesuatu sucian dalam waktu malam ataupun siang, melainkan aku tentu
bersolat dengan sucianku itu, sebagaimana yang ditentukan untukku – yakni
setiap habis berwuduk lalu melakukan solat sunat
wuduk.” (Muttafaq ‘alaih)
Oleh itu, marilah kita sama-sama
berusaha untuk menjaga wuduk kita bermula dari cuba menyempurnakannya sebaik
mungkin dan cuba untuk sentiasa berada di dalam keadaan berwuduk itu. Setelah
selesai setiap kali berwuduk, apa kata dicuba pula beristiqamah dalam
melakukkan Solat Sunat
Wuduk 2 rakaat sebagai tambahan amalan rutin setiap hari.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui
apa yang benar)..
.