Kertaskerja ini dibentangkan di Wacana Fiqh Qurban,
Pada 14 Oktober 2012 di Masjid al-Hasanah, Bandar Baru Bangi.
Oleh:
Prof Madya Dr. Azman bin Mohd Noor, Mohamad Fadzli bin Shamsuddin.
Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
PENDAHULUANIbadah korban merupakan satu ibadah yang amat mulia di sisi Allah s.w.t. Di dalamnya terkandung banyak hikmah. Sejarah ibadah korban bermula pada zaman Nabi Ibrahim ketika peristiwa penyembelihan anaknya Ismail yang telah digantikan dengan seekor kambing dengan kuasa Allah S.W.T. Ibadah korban ini telah disyariatkan pada tahun ke-2 hijrah seperti zakat dan solat dua hari raya. Mengikut istilah fiqh Korban atau Udhiyah bermaksud menyembelih haiwan tertentu dengan niat mendekatkan diri kepada Allah S.W.T, pada waktu tertentu iaitu bermula pada selesainya solat hari raya Eid al-Adha (10 Zulhijjah) & pada hari-hari Tasyriq (11,12 & 13 Zulhijjah) kerana beribadah kepada Allah s.w.t., iaitu sebagai menghidupkan syariat Nabi Allah Ibrahim a.s. yang kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Terdapat banyak dalil daripada Al-Quran, Hadis dan Ijmak tentang pensyariatan ibadah korban ini. Di dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat berkaitan ibadah korban antaranya firman Allah di dalam surah al-Kautsar ayat 2 ertinya:
Terdapat banyak dalil daripada Al-Quran, Hadis dan Ijmak tentang pensyariatan ibadah korban ini. Di dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat berkaitan ibadah korban antaranya firman Allah di dalam surah al-Kautsar ayat 2 ertinya:
“Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah (Korban) sebagai (tanda) bersyukur”.
Firman Allah lagi di dalam surah al-Hajj ayat 36 ertinya:
“Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang meminta dan yang tidak meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur”.
Selain daripada itu, terdapat juga hadis-hadis Nabi yang menjadi dalil akan pensyariatan ibadah korban. Antaranya sabda Rasulullah S.A.W:
“Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (Hari-hari ‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih binantang korban), kerana ia (binatang Korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah Korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan.”
(Hadis riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi dan dianggap sebagai Hadis Hasan Gharib).
Berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis para ulama’ telah bersepakat bahawa ibadah Korban merupakan satu ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah S.W.T ke atas hamba-hambaNya. Ianya merupakan sunnah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS berdasarkan maksud firman Allah di dalam surah al-Soffat ayat 107:
“Dan Kami tebus anak itu (Ismail) dengan seekor sembelihan (kibash) yang besar”.
Selain itu, ibadah korban merupakan ibadah yang paling Allah sukai di Hari-Hari ‘Eidul Adha, di mana binatang yang diKorbankan akan didatangkan di Hari kiamat sepertimana keadaan dan sifatnya ketika disembelih dan diletakkan darahnya yang telah diterima di sisi Allah sebelum darah tersebut tumpah ke bumi. Ibadah ini mengandungi banyak hikmah antaranya ia merupakana satu tanda kesyukuran kepada Allah di atas nikmatnya yang tidak terkira, dan sebagai kafarah (penutup) dosa-dosa. Selain itu, ibadah ini dapat mengenang dan mencontohi pengorbanan besar yang tidak ada tolok bandingnya, yang dilakukan oleh Nabi ibrahim AS yang sanggup mengorbankan anaknya Ismail sebagai kemuncak dalam melaksanakan ketaatannya di atas perintah Allah SWT. Ianya juga dianggap sebagai simbolik kesediaan hamba untuk mengorbankan apa sahaja demi kerana Allah, termasuklah sanggup mengorbankan dirinya demi menegakkan agama Allah yang yercinta. Di samping itu ia dapat melatih diri kita supaya sentiasa ikhlas dalam beribadah serta melatih diri agar sentiasa bersedia untuk berkorban bila-bila masa diperlukan demi menegakkan agama Allah.
HUKUM IBADAH KORBAN
Para ulama’ telah sepakat bahawa ibadah korban merupakan ibadah yang telah disyariatkan. Namun, mereka berselisih pendapat bekaitan hukum ibadah ini. Ada yang mengatakan ibadah ini wajib dan ada pula yang mengatakan ibadah ini sunat. Pendapat-pendapat mereka disokong dengan hujah-hujah yang kuat. Antara ulama’ yang berpendapat bahawa ibadah ini wajib ialah Imam Abu Hanifah dan beberapa pengikutnya. Beliau berpendapat bahawa ibadah Korban ini wajib sekali setiap tahun ke atas orang yang bermukim (tetap). Pendapat mereka bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
“Barangsiapa yang diberikan kemudahan, sehingga memampukan dia untuk berKorban, akan tetapi dia tidak mahu berKorban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami (masjid)” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).
Namun, Abu Yusuf dan Muhammad dari Mazhab Hanafi mengatakan ibadah korban tidak wajib tetapi sunat muakkad.[1]
berpandukan hadis Nabi SAW maksudnya:
“Aku diperintah untuk melakukan korban dan korban itu adalah sunat bagi kamu.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).
Dalam hadis yang lain Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Tiga perkara ianya fardhu ke atasku, dan sunat ke atasmu: solat witir, menyembelih korban dan solat dhuha”.[2]
(Hadis riwayat Ahmad dan al-Hakim).
Berdasarkan hadis di atas, ibadah atau amalan Korban adalah wajib ke atas diri Rasulullah SAW, akan tetapi hanya dianggap sunnah ke atas umatnya. Menurut pandangan Imam Syafie dan Malik, hukum melakukan ibadah korban ini adalah sunat muakkadah iaitu ibadah sunat yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Pendapat mereka dikuatkan lagi dengan sabda Rasululluah SAW:
“Aku telah diperintahkan supaya berkorban dan ianya adalah sunat bagimu”
(Riwayat Imam al-Tirmizi).[3]
Oleh itu, boleh disimpulkan bahawa ulama’-ulama’ mazhab berpendapat ibadah Korban dikira sama ada sunat muakkad atau wajib. Namun begitu jumhur ulama’ berpendapat bahawa ibadah korban adalah amalan yang sunat mu’akkad sahaja. Seseorang itu tidak akan dianggap berdosa besar sekalipun tidak pernah melakukan ibadah korban seumur hidupnya.
SYARAT-SYARAT IBADAT KORBAN
Syarat sah korban:
1. Syarat yang utama ialah seseorang itu mampu melaksanakan ibadah korban, dan tidak dituntut bagi sesiapa yang tidak berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban pada hari raya Aid adha dan hari-hari tashriq (11, 12 dan 12 Zulhijjah)[4]
2. Syarat mukallaf untuk seseorang melakukan ibadah korban ialah beragama Islam, merdeka, aqil baligh, bermukim dan berkemampuan.
Syarat binatang sembelihan:
1. Menurut ijmak ulama’ binatang yang harus dijadikan sembelihan korban ialah di kalangan binatang ternakan (bahimah al-an’am) seperti unta, lembu, kambing dan yang seumpama dengannya seperti firman Allah di dalam surah al-Hajj ayat 34 yang bermaksud:
“Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu”.[5]
Walaubagaimanapun ulama’ berkhilaf pendapat dalam menentukan binatang mana yg lebih afdal utk dijadikan korban.
2. Binatang yang hendak dijadikan korban hendaklah daripada binatang yang tiada aib atau cacat seperti pincang, sangat kurus, sakit, terpotong telinganya, terpotong ekornya.
3. Usia binatang sembelihan korban adalah berbeza mengikut jenis binatang. Unta disyaratkan telah berumur 6 tahun. Manakala kambing dan lembu disyaratkan telah berusia 2 tahun dan masuk ke umur 3 tahun. Kibash pula disyaratkan telah memasuki umur 2 tahun. [6] Dikecualikan kepada anak kibash/al-da’n yang dipanggil al-jaz‘ umur yang lebih muda iaitu 6 bulan. Namun, pendapat yang sahih dalam mazhab Shafie ialah genapnya setahun.[7]
Waktu ibadah korban
1. Ibadah korban mestilah dilaksanakan pada waktu-waktu khusus iaitu pada 10 Zulhijjah selepas solat sunat hari raya sehinggalah tenggelam matahari pada 13 Zulhijjah.
ISU ISU BERKENAAN IBADAH KORBAN
Berkenaan Daging Korban
Para fuqaha’ bersepakat mengatakan bahawa seekor kambing atau kibasy tidak termasuk di kalangan binatang yang boleh dibahagikan dagingnya kepada beberapa bahagian iaitu hanya mencukupi sebagai korban untuk satu bahagian sahaja. Seekor unta atau lembu pula mencukupi untuk menjadi korban bagi tujuh orang.[8] Ini berdasarkan hadith Jabir:
“Kami berkorban bersama Rasulullah SAW semasa di Hudaybiyah dengan seekor unta atau seekor lembu untuk tujuh orang.” (diriwayatkan oleh jama’ah).
Dan hujah ini dikuatkan lagi dengan hadis riwayat Muslim:
“Kami keluar bersama Rasulullah SAW dan kami berniat Haji. Maka Rasulullah SAW telah memerintahkan kami supaya berkongsi mengurbankan seekor unta atau seekor lembu. Setiap tujuh orang berkongsi seekor unta.”
Hukum memakan daging korban oleh orang yang melakukan ibadat korban:
1. Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa harus bagi orang yang berkorban untuk memakan daging korban miliknya.
2. Adapun mengikut Mazhab Hanafi korban nazar iaitu korban wajib adalah dilarang untuk dimakan oleh orang yang berkorban sepertimana memakan anak yang lahir dari binatang sembelihan itu yang lahir sebelum disembelih.[9]
3. Mengikut pandangan Mazhab Maliki dan Hanbali adalah harus daging sembelihan korban nazar dimakan oleh orang yang berkorban seperti daging sembelihan korban sunat. Namun, yang paling dituntut adalah dagingnya dimakan sebahagiannya, disedekahkan dan diberi makan kepada fakir miskin. Di sisi Mazhab Maliki dan Hanafi jika daging itu dimakan semuanya oleh orang yang berkorban atau disimpan selama 3 hari hukumnya adalah harus tetapi dibenci (makruh). Manakala Mazhab Hanbali mengharuskan untuk memakan sebahagian besar dagingnya.[10]
4. Mazhab Syafi’e berpandangan bahawa korban wajib atau nazar atau yang telah dinyatakan tujuannya dengan lafaz seperti ‘ini adalah sembelihan korban’ atau ‘aku menjadikannya sebagai sembelihan korban’ maka tidak harus dimakan dagingnya oleh orang yang berkorban dan tanggungannya (ahli keluarganya). Bahkan adalah wajib untuk disedahkan kesemuanya.[11]
5. Adapun korban sunat di sisi Mazhab Syafi’e adalah harus bahkan digalakkan kepada orang yang berkorban untuk memakan daging korbannya. Diriwayatkan dari Baihaqi: “Bahawa Rasulullah SAW makan daripada hati sembelihan korbannya”.
Pembahagian Daging Korban
1. Dalam masalah pembahagian daging korban, adapun yang paling dituntut disisi Mazhab Hanafi dan Hanbali ialah dibahagikan daging itu kepada 3 bahagian. 1/3 untuk dimakan oleh orang yang berkorban, 1/3 untuk dihadiahkan kepada saudara maranya atau sahabat-sahabatnya dan 1/3 lagi untuk disedekahkan kepada fakir miskin. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 36 bermaksud:
“Makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta.”
Dan Allah berfirman di dalam surah al-Hajj ayat 28 bermaksud:
“Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang Korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”
Berdasarkan ayat 28 ini Mazhab Hanbali mewajibkan memberi makan kepada orang orang fakir miskin kerana perkataan ‘berilah makan’ adalah ayat perintah.[12]
2. Dalil yang digunakan oleh selain daripada Mazhab Maliki tentang kadar pembahagian daging sebanyak 1/3 bahagian ialah riwayat Ibn Abbas pada menyifatkan sembelihan Nabi SAW: “Dan baginda memberi makan ahli keluarganya 1/3, dan memberi makan di kalangan jiran-jirannya yang miskin 1/3, dan memberi sedekah kepada yang memerlukan/yang meminta 1/3”. (riwayat al-Hafiz Abu Musa al-Asfahani).
3. Manakala Mazhab Maliki berpandangan bahawa tiada pembahagian daging dalam ibadah korban bersandarkan kepada hadis-hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Aisyah, Jabir, Abu Said, Buraidah dan selain mereka yang mana pada hadis-hadis tersebut Nabi ada menyatakan: “Makanlah kamu, dan simpanlah kamu dan bersedekahlah kamu”, atau pada riwayat lain: “Makanlah kamu, dan berilah makan, dan simpanlah kamu”.[13]
4. Daging korban adalah harus untuk diberikan kepada orang-orang kaya mengikut pandangan Mazhab Syafi’e sebagai hadiah kepada mereka tanpa bertujuan untuk berjual beli dengannya.
5. Mengikut pandangan lama Mazhab Syafi’e orang yang berkorban boleh makan separuh dan separuh yang lain disedekahkan. Namun, pandangan yang baru pula mengharuskan orang yang berkorban untuk makan 1/3 daripada sembelihan korbannya. Namun yang paling tepat ialah wajib disedekahkan sebahagian walaupun sedikit daripada dagingnya. Paling afdal adalah memberi sedekah kesemua daging korban kecuali sedikit sekadar untuk mengambil berkat dari ibadah korban.[14]
6. Orang yang berkorban sunat mengikut pendapat Mazhab Syafi’e boleh menyedekahkan kulit binatang sembelihannya ataupun untuk memanfaatkannya seperti harusnya memanfaatkan dagingnya. Paling afdal adalah disedekahkan kesemuanya. Adapun korban wajib maka orang yang berkorban tidak harus untuk memanfaatkan kulitnya.[15]
Hukum memanfaatkan bahagian-bahagian badan binatang Korban
1. Diharamkan jual beli bulu, lemak, daging, bahagian-bahagian badan, kepalanya, kulit, rambut, dan susu binatang korban yang diperah selepas disembelih korban. Nabi SAW telah memerintahkan supaya kulit binatang korban dibahagikan dan melarang jual beli padanya, sabda Nabi SAW:
“sesiapa yang menjual kulit binatang-binatang korbannya, maka tiada korban baginya”. (riwayat Hakim dan Baihaqi).[16]
2. Bahagian-bahagian anggota badan binatang korban juga tidak diharuskan untuk diberi kepada penyembelih iaitu sebagai upah untuknya. Saidina Ali telah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
“Rasulullah telah memerintahkanku supaya mengorbankan untanya (iaitu ketika hari Nahar), dan supaya aku membahagikan kulitnya dan anggota badannya, dan supaya tidak memberikan kepada penyembelih sesuatu daripadanya”. Dan Ali telah berkata: “kami memberikan upahya (secara berasingan) daripada kutipan sesama kami”. (Muttafaqun Alaih).[17]
3. Namun, jika pemberian kepada penyembelih itu atas dasar kemiskinan atau sedekah bukan atas dasar upah (upah diberi berasingan) maka hukumnya adalah harus.
4. Bagi orang yang berkorban pula diharuskan untuk memanfaatkan kulit binatang sembelihannya. Namun di sisi Mazhab Hanafi mengangap ia termasuk dalam bab ‘istihsan’ jika seseorang itu membeli sesuatu menggunakan kulit binatang sembelihan tersebut dengan syarat barang yang dibeli atau barang tukaran tersebut hendaklah sesuatu yang kekal dan bukan sesuatu yang musnah seperti dinar, dirham, makanan atau minuman. Dalil tentang harusnya memanfaatkan kulit binatang sembelihan adalah perbuatan Aisyah yang menjadikan kulit binatang sembelihan sebagai bekas air. Namun Mazhab Maliki menghukumkan makruh jika digunakan sebagai bekas makanan atau minuman orang yahudi dan nasrani.[18]
1.5 Hukum memberi daging atau bahagian badan binatang sembelihan korban kepada orang kafir:
1. Imam al-Nawawi menukilkan daripada Ibn Munzir Ijma‘ Ulama bahawa adalah harus memberi makan daging Korban kepada fakir miskin Muslim. Mereka berselisih pendapat berkenaan memberi makan daging Korban kepada Ahli Zimmah. Abu Hanifah, Hasan al-Basri dan Abu Thaur membenarkannya. Imam Malik pula lebih suka mengutamakan Muslimin. Imam Malik mengaggap makruh memberikan kulit binatang Korban kepada orang Kristian.
Adapun pegangan mazhab Shafie, menurut Imam al-Nawawi, harus memberi makan kafir Zimmi daripada daging sembelihan Korban Sunat, bukan Korban wajib seperti nazar.[19]
2. Mengikut pandangan Mazhab Hanbali adalah harus memberi daging kepada orang kafir jika ianya adalah korban Sunat. Adapun korban wajib maka tidak diharuskan.[20]
3. Menurut pandangan Syeikh Soleh Uthaimin, seseorang itu boleh memberikan daging Korban kepada orang kafir sebagai sedeqah selagi orang kafir itu tidak memerangi dan membunuh orang Islam. Jika dia seorg kafir yang memerangi orang Islam, maka tidak boleh memberinya apa-apa. Ini bermakna hanya kafir zimmi sahaja yang diberi kelebihan untuk menerima daging korban. Pendapat ini dikuatkan dengan firman Allah dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 hingga 9 maksudnya:
“Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangi kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barang siapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.[21]
4. Fatwa dari Lajnah Da'imah lil Buhuth al-'Alamiyah wa al-Ifta' pula berpendapat harus untuk memberi makan daging korban kepada orang kafir yang membuat perjanjian damai dan juga tebusan dari kalangan orang kafir. Boleh memberinya kepada orang kafir yang miskin, kaum kerabat, jiran atau mu'allaf, kerana menyembelih daging Korban ini adalah korban dan ibadat kepada Allah semata-mata. Yang lebih afdhal, dagingnya dimakan sepertiga, sepertiga lagi diberikan kepada kerabat, jiran dan teman, dan sepertiga lagi disedeqahkan kepada orang fakir. Jika dilebihkan atau dikurangkan bahagian ini maka tidak mengapa. Tidak boleh memberikan daging korban ini kepada orang kafir yang memerangi orang Islam, kerana kita wajib menjatuhkan dan melemahkannya serta tidak menguatkannya dengan sedekah. Itu adalah hukum dalam memberi sedekah kerana umum dalam firman Allah ini:
“Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu”.[22]
5. Di Negara kita Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-66 yang bersidang pada 25 Nov 2004 telah memutuskan bahawa tidak harus mengagih dan memberi makan daging Korban kepada orang bukan Islam.[23]
Kesimpulannya, ulama’ berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya haram, ada yang mengatakannya makruh dan Mazhab Hanbali, Hanafi pula mengatakannya harus kerana ia bukannya sedekah wajib. Namun satu perkara yang tiada khilaf di kalangan ulama’ ialah mengutamakan umat Islam. Oleh itu dalam hal ini, umat Islam perlu didahulukan, tetapi tidak menjadi kesalahan memberikannya kepada orang kafir ahli al-zimmah.
2. Hukum Memindahkan Daging Korban/ Melakukan Ibadah Korban ke Tempat Atau Negeri/Negara lain:
4. Di Malaysia Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-66 yang bersidang pada 25 Nov 2004 telah memutuskan bahawa harus mengagihkan daging Korban ke tempat atau negara lain.[27]
Berkenaan melakukan ibadat Korban di luar negeri/Negara, Sheikh Muhammad bin Muhammad bin Mukhtar al-Shanqiti berpendapat bahawa ibadah Korban di luar Negara adalah sah dan pelakunya akan mendapat pahala melakukan ibadat Korban. Tetapi yang afdalnya dilakukan di kawasan tempat tinggalnya. Lebih afdal lagi sekiranya dilakukan ibadat Korban di kawasan kediamannya dan juga di luar Negara yang berdepan dengan kesukaran.[28] Dr. Nazim al-Misbah juga menyokong pandangan ini. Beliau menolak pandangan yang mendakwa ibadat Korban di luar Negara adalah sama dengan sedekah biasa[29]. Menurutnya lagi pendapat ini tidak ada dalil yang kuat. Bahkan ia bercanggah dengan fakta yang meyatakan bahawa Rasulullah SAW mewakilkan Sayyidina Ali untuk melakukan penyembelihan Korban baginda ketika Haji Wada’.
Kesimpulan, yang afdal dan hukum asal bagi ibadah Korban ialah dilaksanakan di negeri sendiri. Sekiranya dibuat di luar Negara, tidak menjadi kesalahan. Bagi mereka yang mampu, boleh buat dua dua sekali.
3. Pantang Larang Bagi Mereka yang Ingin Melakukan Ibadat KorbanDisunatkan kepada mereka yang hendak melakukan ibadat Korban apabila masuk satu haribulan Zulhijah, agar tidak memotong kuku atau mencukur/menggunting rambut, ataupun mana mana bulu di badan sehinggalah dilakukan ibadat Korban. Al-Imam Al-Shirazi berpendapat bahawa ia tidak wajib kerana mereka bukan berihram sebagaimana yang dilakukan oleh Jemaah haji. Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan Ummi Salamah: “Sesiapa yang akan melakukan sembelihan Korban, apabila kelihatan Hilal Zulhijjah maka janganlah dia menyentuh kuku atau rambutnya sehinggalah disempurnakan ibadat Korban”. Hadis riwayat Muslim.Imam al-Nawawi berkata Ulama mazab Syafie menanggap bahawa hukumnya adalah makruh Karahiyat al-Tanzih berdasarkan hadis di atas. Inilah pegangan mazhab Shafie. Ada juga sebahagian ulama mazhab Syafie seperti Al-Rafie menganngap hukumnya adalah haram. Ini selari dengan pandangan Said Ibn Musayyab, Imam Ahmad dan Rabiah yang mengaanggapnya haram. Mazhab Imam Malik dan Abu Hanifah tidak menganggap makruh (harus) perbuatan potong kuku atau rambut bagi mereka yang ingin melakukan ibadat Korban. Di antara hikmah dilarang perbuatan tersebut ialah supaya semua anggota badan pelaku Korban diselamatkan daripada api neraka dan juga untuk mencontohi mereka yang berada dalam ihram haji walaupun tidak dilarang hubungan suami isteri dan juga wangian.[30]
4. Program Korban yang dianjurkan oleh Pihak Berkuasa dan Institusi Kerajaan/SwastaDi dalam mazhab Shafie, harus bagi pemerintah menggunakan peruntukan Bait al-Mal untuk melakukan ibadat Korban (menghidupkan syiar ibadah) bagi masyarakat Islam.[31]Berdasarkan pendapat ini, boleh diqiyas keharusannya kepada badan-badan kerajaan dan juga swasta. Persoalannya, adakah sah ibadat Korban tersebut atau ia sama dengan sedekah? Sepatutnya ibadah ini dilakukan oleh individu Muslim, dan oleh kerana ia adalah ibadat, maka perlu kepada niat. Tidak dapat digambarkan berlakunya niat daripada entity undang undang (legal entity).
Dicadangkan kepada syarikat syarikat ataupun institusi kerajan ataupun swasta supaya diberikan kepada fakir miskin (dimilikkan) binatang ternakan samada lembu atau kambing yang akan disembelih Korban. Tujuannya ialah mereka berpeluang melakukan ibadat Korban dengan menjadi pemilik kepada binatang Quran atau sebahagian daripadanya (1/7) dan mereka akan menunaikan niat korban ketika melakukan kerja-kerja penyembelihan. Namun, ia perlu kepada pematuan supaya penyembelihan akan betul betul berlaku dan menepati kehendak Syarak. Dengan itu tidak dicadangkan pemilikan diberika sebelum penyembelihan. Tujuannya ialah supaya haiwan itu tidak dijual hidup hidup untuk mendapatkan duit tunai.
5. Melakukan Ibadat Korban Bagi Mereka yang Sudah Meninggal[32]
Pendapat pertama: Tidak sah, kecuali simati berwasiat demikian. Ini adalah pendapat mazhab Shafie sebagaimana yang disebut oleh Imam Nawawi di dalam kitab al-Minhaj. Disebut oleh Sheikh Taqiyyuddin al-Husaini di dalam kitabnya Kifayat al-Akyar, bahawa pendapat yang al-Asahhu (yang dipilih) dalam mazhab Shafie ialah tidak sah melakukan ibadat korban bagi simati kecuali simati berwasiat demikian.[33]
Pendapat kedua: Sah dilakukan Korban kepada simati secara berasingan daripada yang hidup sebagai tabarru‘ berdasarkan kaedah qiyas dengan perbuatan sedekah. Pendapat ini dinisbahkan kepada sebahagian daripada ulama mazhab Hanbali.
Pendapat ketiga: Makruh. Ini adalah pendapat Imam Malik kerana tidak sabit amalan ini dari Rasulullah.
Penulis berpendapat perbutatan ini tidak berapa digalakkan kerana tidak dilakukan oleh Rasulullah kepada keluarga Banginda yang sudah meninggal. Para sahabat juga tidak melakukannya kepada keluarga mereka yang sudah meninggal.
6. Wakalah Dalam Ibadah Korban
6.1 Konsep Wakalah:Wakalah dari segi bahasa bererti menyerahkan kuasa, pengawasan, penjagaan dan pemeliharaan. Dari segi istilah fiqh pula ialah seseorang itu menyerahkan sesuatu perkara ketika hidupnya kepada orang lain agar melakukannya dalam hal-hal yang boleh diwakilkan. Hukum wakalah adalah harus berdasarkan Al-Qur’an, sunnah dan ijma‘ ulama. Wakalah mempunyai empat rukun iaitu: I. Muwakkil (orang yang berwakil)
Syarat-syarat wakil dalam ibadah korban:1. Hendaklah seorang Muslim dan bukan ahli kitab kerana sembelihan ahli kitab adalah makruh. Tambahan pula tujuan sembelihan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Adapun majusi adalah diharamkan sembelihannya.[34]
Hukum upah bagi wakil:1. Ulama’ sepakat mengatakan bahawa wakil atau penyembelih tidak boleh mengambil bahagian daripada sembelihan korban sebagai upah kerana terdapat larangan yang keras daripada Nabi SAW di dalam hadis Sayyidina Ali:
Oleh itu, boleh disimpulkan bahawa wakil atau penyembelih tidak boleh menetapkan bahagian daripada binatang korban itu sebagai upahnya.2. Jika hendak memberi upah hendaklah menggunakan peruntukkan lain selian dari daging korban. Ali r.a berkata:
Hujjah lain, pada dasarnya upah untuk ibadah adalah diharuskan seperti upah haji dan umrah. Adapun ibadah-ibadah yang tidak memerlukan belanja dan usaha yang keras maka tidak diharuskan padanya sebarang upah.Larangan dijadikan upah sebahagian daripada daging Korban adalah kerana daging daripada penyembelihan korban adalah bertujuan untuk ibadah korban dan kebajikan. Dengan itu ia tidak boleh dijadikan balasan/upah kepada kerja (pengurusan penyembelihan).
6.2 Kaedah Kaedah Wakalah di dalam Ibadah Korban:1. Wakalah berbentuk penyerahan binatang korban:
2. Wakalah berbentuk penyerahan wang:
Di antara kesilapan yang biasa berlaku ialah tidak dinyatakan akad perwakilan (wakalah) ketika mengambil tempahan. Tidak juga dibezakan antara wakalah secara mutlak ataupun secara khusus. Perwakilan secara khusu berlaku apabila mereka yang melakukan ibadat korban mewakilkan seseorang tukang sembelih yang dikenalpasti untuk melakukan penyembelihan, di samping ditentukan haiwan sembelihan. Bagi wakil yang akan mewakili pihak ketiga untuk menguruskan ibadah korban terutamanya di luar negara, perlu dinyatakan dengan jelas perwakilan adalah secara mutlak.
Wakalah Bersama Dengan Upah (wakalah bi al-ajr)Apabilah wakalah disertakan dengan upah, hukumnya bertukar kepada ijarah, iaitu upah kepada sesuatu pekerjaan. Ini dianggap sebagai aqad mu‘awadahseperti jual beli. Di antara kesan fiqh ialah ia berubah daripada kontrak yang tidak mengikat (non binding/ghair lazim) kepada kontrak yang mengikat (binding/lazim), dengan erti kata pembatalannya mestilah dengan persetujuan kedua dua pihak (muwakkil dan wakil). Jumlah upah juga mestilah diketahui kerana gharar (ketidaktentuan) di di dalam aqad mu‘awadah membatalkan kontrak. Sebagai contoh, sekiranya disebut harga kambing seekor RM500, perlu dijelaskan berapa upah kepada wakil yang akan melakukan kerja penyembelihan dan pengurusan ibadah korban. Diantara kesilapan yang kerap berlaku ialah tidak disebut berapa upah. Di antara alternatif adalah seperti berikut:1. Disebut bahawa RM500 adalah harga sebahagian korban termasuk kos pengurusan dan upah. Perlu dinyatakan termasuk upah. Ini boleh diterima sekiranya penyembelihan dan urususan penyelenggaraan dilakukan sendiri oleh penganjur seperti masjid atau surau.
Di antara ulama yang yang mengharuskan konsep ini (upah bersyarat) ialah Ibn Abbas, Al-Zuhri, Qotadah, Ayub al-Sakhtiyani, Ibn Sirin, Al-Sya’bi, Hassan al-Basri, Ishaq Ibn Rahawaih, Ahmad bin Hanbal,dan juga ulama mazhab Hanbali.[37] Ulama yang membenarkan kaedah ini juga mengharuskan membeli dengan harga sekian, sekian, sekiranya harga yang diperolehi lebih rendah, maka perbezaan harga itu deberikan kepada wakil. Contoh, “Belikan saya sebahagian lembu korban dengan harga RM500, sekiranya kamu boleh dapatkan harga yang lebih rendah, perbezaan harga saya berikan kepada kamu.”
Perlu diingatkan supaya tidak berlaku ghubn iaitu kerugian disebabkan penipuan bagi muwakkil iaitu pelaku ibadah korban di mana, kadang kadang lembu yang disembelih adalah yang kurus atau tidak cukup sharat sah sembelih, kerana dibeli dengan harga yang begitu rendah disebabkan pengambilan upah yang tinggi.
Dicadangkan bagi mereka yang menganjurkan ibadat korban secara komersial, agar mengabil upah secara berpatutan menurut uruf, sebagaimana Al-Quran membenarkan penjaga anak yatim mangambil upah di atas kerjanya sekiranya tidak ada kemampuan dengan syarat ianya berpatutan menurut uruf semasa dan tempat pengurusan korban “bi al-makruf”. Aktiviti ini juga perlu kepada pamatauan pihak berkuasa supaya tidak berlaku penipuan.
KESIMPULANIbadah korban merupakan ibadah yang mulia di sisi Allah SWT dan ganjaran amatlah besar. Di dalamnya terkandung seribu satu hikmah. Oleh kerana ianya adalah sunat muakkad, umat Islam amat digalakkan untuk melaksanakan ibadah korban, tambahan pula pada masa kini terdapat banyak kemudahan yang dapat membantu memudahkan lagi ibadah ini dijalankan.
Namun, dalam kesibukan kita mengejar ibadah ini jangan sampai terlepas pandang akan syarat-syarat dan sunnah-sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Supaya ibadat korban dilaksanakan dengan sempurna, kefahaman tentang hukum hakam yang berkaitan dengan ibadah korban sangatlah penting. Perhatian juga perlu diberikan dalam memenuhi tuntutan-tuntutan lain yang berkaitan seperti berwakil membeli dan menyembelih sebagaimana yang dijelaskan di atas supaya amalan berkorban itu benar-benar menepati kehendak Syara’.
Aktiviti penganjuran ibadat korban secara komersial perlu kepada pematauan pihak berkuasa untuk memastikan pelaksanaan dilakukan dengan sempurna termasuklah aqad wakalah, penentuan harga dan upah dan pengagihan supaya patuh kepada Shariah. Pengajur juga mestilah berwaspada dan melaksanakannya dengan cara yang penuh perihatin dan tekun kerana ia adalah amanah daripada orang ramai dan dipersoalkan pada hari Qiyamat.
Wallahu a‘lam.
[1]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, (Dimasyq: Dar al-Fikr, Edisi ke-6. 2008), jil. 3, ms. 597[2]. Ibid, 598[3]. Ibn Rushd, Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, (Al-Qahirah: Dar al-Hadis, 2004), jil. 2, ms 192[4]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 601[5]. Ibn Rushd, Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, jil. 2, ms 192[6]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 615[7] Kifayat al-Akyar, ms.528.[8]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 615[9]. Ibid., 627[10]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 627-628[11]. Ibid., 630[12]. Skheikh Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 628[13]. Ibid., 628[14]. Ibid., 630[15]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 631[16]. Ibid., 629[17]. Ibid., 629[18]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 629[19] Imam al-Nawawi, al-Majmu‘ Sharh al-Muhazzab, ibid. jilid 8, ms. 404.[20]. Ibid., 629[21]. http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=92313[22]. http://www.alifta.net/Fatawa/FatawaChapters.aspx?View=Page&BookID=3&PageID=4216&back=true[23]. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-wakalah-dan-beberapa-perkara-berbangkit-dalam-ibadat-Korban[24]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 630[25]. Ibid., 630[26] Imam Taqiyuddin al-Husaini, Kifayat al- Akhyar, ms.534.[27]. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-wakalah-dan-beberapa-perkara-berbangkit-dalam-ibadat-Korban[28] http://ar.islamway.com/fatwa/5759. Accessed 11/10/2012.[29] http://www.alaan.cc/pagedetails.asp?nid=121971&cid=30. 11/10/2012.[30] Imam al-Nawawi, al-Majmu‘ Sharh al-Muhazzab, Jeddah:Maktabah al-Irshad, Jilid 8, ms. 362/363[31] Imam Taqiyuddin al-Husaini, Kifayat al- Akhyar, ms.528.[32] http://www.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=93307. Accessed 11/10/2012[33] Imam Taquyiddin , Abu Bakar Muhammad al-Husaini, Kifayat al-Akhyar, Beirut 1991, Dar al-Khair, ms.528.[34]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 603[35]. Hasyiat al-Bajuri, jilid 1, ms. 296.[36]. Al-Bakri al-Dimyati, I’anat al-Tolibin, (1992), jil. 2, ms. 381[37] Musannaf Abd Al-Razzaq, (15018), Ibn Qudamah, al-Kafi, jilid 2, ms. 252.