Ramai yang masih lagi terkeliru dan musykil tentang
tamatnya waktu solat Isyak.
ada yang mengatakan bahawa waktu solat Isyak tamat pada pukul 12 malam, kerana
solat Isyak tersebut adalah solat malam dan selepas pukul 12 tiada malam lagi.
Ia jadi waktu pagi. Namun begitu ada juga berpendapat waktu Isyak adalah
panjang iaitu sehingga terbitnya fajar shadiq. Masuk waktu Isyak ialah dengan
hilangnya mega merah di ufuk barat (yang menandakan tamatnya waktu solat
Maghrib).
Dalam
Al-Qamus disebutkan, “Malam
adalah dari tenggelamnya matahari sampai terbitnya fajar shadiq atau terbitnya
matahari.” Adapun dalam istilah syar’i, secara zahir malam itu
berakhir dengan terbitnya fajar. Berdasarkan hal ini kita mengetahui bahawa tengah
malam itu diukur dari tenggelamnya matahari sampai terbitnya fajar. Pertengahan
waktu antara keduanya itulah yang disebut tengah malam sebagai akhir waktu
Solat Isyak. Adapun selepas tengah malam ini bukanlah waktu pelaksanaan solat
fardhu, tapi masa untuk melaksanakan solat sunnah / nafilah seperti Tahajjud.
(Asy-Syarhul Mumti ’2/115)
Walau bagamanapun waktu berakhirnya Solat Isyak ada
dua pandangan di kalangan ulamak;
(01)Sebelum Berakhir Sepertiga Malam.
Pandangan ini diutarakan oleh Imam Syafi’e dan Imam
Ahmad dan segologan ulamak lain yang berdalilkan hadis dari Buraidah r.a. yang
menceritakan penjelasan amali (praktikal) Rasulullah s.a.w tentang waktu solat.
Mengenai solat Isyak, Buraidah r.a. menceritakan; “Pada malam pertama Rasulullah s.a.w melakukan
solat Isyak ketika hilang mega merah di ufuk Barat. Di malam kedua pula baginda
melakukannya tatkala malam telah berlalu sepertiganya…Kemudian, baginda
menjelaskan; “Waktu solat ialah antara dua waktu tersebut.”(Hadis
Riwayat Imam at-Tirmizi. Kata beliau; hadis ini hasan gharib soheh).
(02)Sebelum Berakhir Separuh Malam.
Pandangan ini diutarakan oleh Imam Abu Hanifah yang
berdalilkan sabda Nabi s.a.w : “Waktu
solat Isyak ialah hingga separuh malam.” (Hadis Riwayat Imam
Muslim, Abu Daud dan an-Nasai dari Ibnu ‘Umar r.a.).
Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni telah
memadankan antara kedua-dua dalil tersebut di mana beliau menegaskan; “Yang utama (yakni yang afdhal) ialah tidak
menangguhkan solat Isyak melebihi sepertiga malam. Namun jika ditangguhkan
hingga separuh malam hukumnya adalah harus. Adapun selepas itu adalah waktu
darurat…”(al-Mughni, 1/275).
Para ulama membahagikan waktu solat kepada dua :
(01)Waktu Al-Ikhtiyariy (الإختياري)
Waktu al-Ikhtiyariy bagi solat Isyak ialah sehingga
sebahagian malam iaitu sebelum memasuki tengah malam. Waktu al-Ikhtiyariy atau
waktu ikhtiar adalah waktu pilihan iaitu waktu yang diberi keluasan, kelapangan
dan yang dibenarkan untuk memilih pada ketika mana kita ingin mengerjakan solat
dalam tempoh waktu tersebut, tanpa makruh samaada di awal waktu ikhtiyari atau
di akhirnya. Namun begitu yang afdhalnya waktu ikhtiyariy ini ialah masa yang
perlu kita berusaha untuk mendapatkannya dan melakukannya di awal waktu.
Perkara ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w : “Dan waktu solat Isyak ialah sehingga
sebahagian malam yang pertengahan.”
Al-Imam al-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim
menyebut, maksud hadis ini ialah: “Waktu
menunaikannya dalam waktu al-Ikhtiyariy.” (5/111)
Badan Fatwa Arab Saudi di dalam fatwa mereka
menyebut : “Waktu Isyak itu bermula
dari lenyapnya awan merah (habis waktu Maghrib) sehingga pertengahan malam, ini
adalah waktu al-Ikhtiyar, manakala waktu al-Idhthiror bermula dari sebahagian
malam sehingga terbitnya Fajar.” (6/113)
(02)Waktu Al-Idhtiroriy (الإضطراري)
Waktu al-Idhtiroriy ialah waktu yang tidak boleh
dilewatkan solat sehingga masuk waktunya, melainkan bagi orang-orang yang
berkeuzuran. Waktu al-Idhtiroriy bagi solat Isyak pula berlanjutan tempohnya
sehingga sebelum terbitnya fajar sidiq.
Al-Syeikh Abdul Aziz Abdillah bin Baz menyebut : “Apabila telah hilangnya awan merah
(awan merah sebelah barat) tamatlah waktu Maghrib dan masuknya waktu Isyak
sehingga pertengahan malam. Dan apa yang selepas pertengahan malam adalah waktu
al-Idhthirar (dhorurah/dharurat) bagi solat Isyak, tidak boleh melewatkan solat
Isyak sehingga selepas pertengahan malam, antara hilangnya awan merah sehingga
pertengahan malam itu adalah waktu al-Ikhtiyariy bagi solat Isyak, jika
seseorang menunaikan solat Isyak selepas pertengahan malam (selepas tamatnya
waktu al-Ikhtiyariy) dia telah menunaikan solat itu di dalam waktunya, akan
tetapi dia dikira berdosa, kerana melewatkan solat Isyak sehingga masuk waktu
dharurah.”(Fatwa Bin Baz 10/384)
Ini menunjukkan tidak boleh melewatkan solat Isyak
sehingga habisnya waktu al-Ikhtiyariy melainkan bagi orang-orang yang berada
dalam keuzuran selepas berlalunya waktu al-Ikhtiyariy.
Di antara bentuk keuzuran tersebut ialah;
(01)Baru sembuh daripada sakit selepas waktu
al-Ikhtiyariy.(02)Orang yang ketika itu baru tersedar daripada kelupaan.
(03)Tertidur dan selepas sepertiga atau separuh malam baru terjaga.
(04)Kanak-kanak yang baru sahaja baligh selepas waktu al-Ikhtiyariy
(05)Orang gila yang baru sedar dari gilanya selepas waktu al-Ikhtiyariy.
(06)Wanita haid; selepas sepertiga/separuh malam barulah darah haidnya kering.
(07)Orang kafir yang baru memeluk Islam selepas waktu al-Ikhtiyariy.
Hadis Abu
Hurairah radhiyallahu ‘anhu secara
marfu’ : لَ “Seandainya tidak membebankan umatku nescaya
aku akan memerintahkan mereka untuk mengakhirkan Solat Isyak hingga sepertiga
atau pertengahan malam.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi no. 167, dishahihkan Al-Imam Al-Albani rahimahullahu dalam Shahih Sunan
At-Tirmidzi)
Adapun menurut Mazhab Syafi’ie;
selepas Waktu Ihktiyar itu
ialah Waktu Jawaz (waktu
harus), iaitu waktu harus untuk melakukan solat walaupun tidak sebaik Waktu Ikhtiyar tadi. Jadi,
menurut mazhab Syafi’ie; Waktu
Ikhtiyar tadi bukanlah bermaksud waktu pilihan secara mutlak (atau
secara keseluruhan) tetapi waktu pilihan yang terbaik berbanding waktu
berikutnya (Waktu Jawaz).
Waktu pilihan secara keseluruhan ialah selagi belum terbit fajar (masuk waktu
subuh).
Menurut mazhab Hanbali dan Maliki; selepas Waktu Ikhtiyar itu ialah Waktu Darurat yang bermula dari
sepertiga atau seperdua malam hinggalan terbitnya fajar (masuk waktu subuh).
Maksud Waktu Darurat ialah
harus melakukan solat Isyak pada waktu tersebut (tanpa berdosa) bagi orang yang
ada keuzuran. Solat Isyak yang ditunaikan dalam Waktu Darurat itu masih dianggap tunai (bukan qadha), cuma
jika dengan keuzuran tidaklah berdosa dan sekiranya tanpa keuzuran akan
berdosalah.
Kesimpulannya, menurut mazhab Hanbali dan Maliki;
tidak harus kita menangguhkan solat Isyak hingga melepasi sepertiga atau separuh
malam tanpa sebarang keuzuran.
Wallahu A’lam Bish
Shawab
(Hanya Allah Maha
Mengetahui apa yang benar)