Selepas kita mengambil wuduk, adakah kita dibolehkan mengelap air wuduk
itu dengan tuala hingga kering. Atau air wuduk itu dibiarkan saja dan terus
bersolat. Mohon penjelasan daripada Ustaz.
JAWAPAN
Sidang pembaca yang dihormati sekalian. Ada di antara masyarakat Islam
yang tidak mengelap air wuduk di badan kerana berpendapat ia adalah air yang
mengalirkan dosa daripada anggota wuduk. Wuduk menghapuskan dosa yang dilakukan
dari anggota wuduk dan ini mempunyai dalil daripada hadis Nabi Muhammad s.a.w.
Dari Uthman bin Affan katanya, Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “barang
siapa yang berwuduk dengan sempurna, keluarlah dosa-dosanya dari seluruh
tubuhnya hingga dari bawah kuku-kukunya.” - Riwayat Muslim
Berdasarkan hadis ini dan hadis-hadis lain, sebahagian masyarakat kita
berpandangan bahawa mengelap air wuduk adalah makruh. Ia juga berdasarkan hadis
yang diriwayatkan oleh Muslim. Bahawasanya diberikan tuala kepada Nabi s.a.w
setelah wuduk namun baginda menolaknya.
Sebenarnya terdapat beberapa pandangan tentang mengelap air wuduk. Para
sahabat ada yang mengelap wuduk mereka dan ada yang tidak misalnya, Anas bin
Malik berkata tidak mengapa mengelap air wuduk ataupun mandi. Sementara itu
Umar Al Khattab berpendapat adalah makruh dan sementara itu Ibn Abbas
mengatakan adalah makruh mengelap air wuduk dan tidak pada air mandi.
Imam Al Nawawi dalam syarahan Muslim mengatakan bahawa ada dalil bahawa
nabi tidak mengelap air wuduk. Iaitu hadis riwayat Abu Hurairah dalam sahih
Bukhari, “kemudian baginda mandi lalu keluar (menuju solat berjemaah) sedangkan
air masih menitik dari kepalanya dan kemudian mengimamkan mereka”
Pada pandangan Imam Nawawi ada beberapa pendapat:
(1)Digalakkan tidak mengelap anggota badan tetapi tidaklah dikatakan
makruh.
(2)Dihukumkan makruh.
(3)Harus
(4)Disunatkan untuk membuang kotoran.
(5)Dimakruhkan pada musim panas dan tidak pada musim sejuk.
Berdasarkan pada pandangan yang banyak tentang mengelap air wuduk ini
maka terpulanglah kepada sidang pembaca sekalian sama ada hendak melakukannya
ataupun tidak kerana pada pandangan penulis hukum adalah harus. Kerana tidak
ada dalil yang jelas dan larangan yang jelas tentang pengamalnya.
Hukum mengharuskan mengelap air wuduk ini adalah pandangan mazhab
Maliki, Hambali dan sebahagian mazhab Shafie, Nabi pernah menggunakan jubahnya
untuk mengelap wuduk. Dan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Tarmizi dan an
Nasai kata, Aisyah r.a nabi mempunyai perca-perca kain untuk mengeringkan
anggota sesudah wuduk.
Berdasarkan hadis-hadis inilah ada mengatakan bahawa harus mengelap air
wuduk. Maka terpulanglah kepada para pembaca sekalian sama ada hendak melakukan
ataupun tidak tetapi yang lebih penting kepada penulis adalah sama ada wuduk
kita sempurna ataupun tidak dan bagaimana cara kita mengambil wuduk adakah
sesuai dengan syariat Islam atau tidak.
Persoalan paling utama adalah kesempurnaan wuduk pengetahuan tentang
rukun dan cara-caranya serta amalan-amalan sunat semasa wuduk dan membaca doa
setelah wuduk. Itulah sebenarnya yang paling penting. Sama ada kita hendak
mengelap air wuduk ataupun tidak kita sesuaikanlah dengan keadaan kalau perlu
di lap, kita lap sahaja dan kalau tidak maka terpulanglah.
OLEH: USTAZ AZHAR TUARNO
(Imam Masjid Negara merangkap Penolong
Pengarah Perhubungan Awam dan Pusat Sumber Masjid Negara Kuala Lumpur)