Berita Terkini :

Home » » Masalah Makmum Ketinggalan Fatihah

Masalah Makmum Ketinggalan Fatihah

Soalan :
Solat berjemaah -  individu merupakan jemaah masbuk, katakan individu mengikut imam pada rakaat ke-2 dan tidak dpt menghabiskan bacaan al-fatihah, individu tersebut tidak perlu menghabiskan bacaan tersebut dan perlu rukuk mengikut imam, yang saya ingin dapat kepastian adalah pada rakaat ke-3, sekiranya makmum tersebut masih tidak dpt menghabiskan surah al-fatihah dan imam telah rukuk, perlukah makmum tersebut menghabiskan bacaannya kemudian rukuk mengikut imam tetapi jika makmum tidak sempat rukuk bersama imam adakah rakaat tersebut dikira atau masih perlu dilakukan sama seperti rakaat ke-2?
Jawapan;
1. Jika kita tiba ketika imam telah rukuk, terus sahaja bertakbir masuk ke dalam solat (takbiratul ihram), kemudian takbir sekali lagi dan rukuk bersama imam. Ketika ini, gugur al-Fatihah dari kita dan ia ditanggung oleh imam.
2. Jika kita tiba ketika imam hampir rukuk, terus bertakbir masuk ke dalam solat, baca al-Fatihah setakat yang sempat, apabila imam rukuk kita turut rukuk bersama imam, tidak perlu kita menghabiskan fatihah kita kerana baki fatihah kita itu ditanggung oleh imam.
3. Jika kita mengikuti imam dari awal solat, wajib dalam apa keadaan sekalipun kita menghabiskan bacaan al-Fatihah kita. Sekalipun imam telah rukuk, kita wajib menyudahkan bacaan al-Fatihah, kemudian baru rukuk bersama imam. Jika ada keuzuran (iaitu lambat dalam bacaan) diberi kelonggaran kepada kita hingga tiga rukun panjang (iaitu sehingga sebelum imam bangkit dari sujud kedua).[1][1] Jika kita sempat sujud sebelum imam bangkit dari sujud keduanya, kita masih dikira mendapat rakaat tersebut bersama imam.  Jika tidak sempat, kita dikira telah luput rakaat tersebut bersama imam, maka tidak perlu lagi kita rukuk, akan tetapi terus duduk tahiyyat bersama imam (jika dia duduk tahiyyat) atau tunggu sahaja imam naik ke rakaat berikutnya (jika tidak ada tahiyyat oleh imam) dan mengikuti imam hingga selesai solatnya, apabila imam memberi salam, kita bangun menambah rakaat yang ketinggalan dari imam tadi.
Itu adalah mengikut mazhab Syafiie yang berpandangan; makmum wajib membaca al-Fatihah ketika solat berjamaah (sebagaimana imam wajib membacanya) kecuali dalam kes makmum masbuq (iaitu kes 1 dan 2 di atas) di mana bacaan al-Fatihahnya ditanggung oleh imamnya bagi dua kes tersebut. Menurut mazhab-mazhab lain ( Hanafi, Maliki dan Hanbali); ketika solat berjamaah, makmum tidak wajib membaca al-Fatihah (hanya disunatkan sahaja). Telah memadai bacaan imam untuknya atau dalam pengertian yang lain; imam menanggung bacaan al-Fatihah untuknya, jadi tidak wajib lagi atasnya. Maka menurut pandangan kedua ini, dalam apa keadaan sekalipun, apabila imam rukuk, makmum hendaklah terus rukuk bersama imamnya. Tidak perlu makmum menghabiskan bacaan al-Fatihah (sama ada ia mengikuti imam dari awal atau ketika imam telah rukuk atau hampir rukuk) kerana telah ditampung oleh bacaan imamnya.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 33/52 (perkataan; “Qira-ah”).
2. al-Mugni, Imam Ibnu Qudamah, 1/394.
3. al-Fiqh al-Manhaji, 1/81.
4. 60 Hadis Sifat Solat Nabi, Us. Ahmad Adnan Fadzil.

 


[1][1] Iktidal dan duduk antara dua sujud adalah rukun pendek. Adapun ruku’, sujud pertama dan sujud kedua adalah rukun panjang. Jadi, apabila makmum masih belum ruku’ tatkala imamnya telah bangkit dari sujud kedua, maka ia telah ketinggalan dari imamnya melebihi tiga rukun panjang, iaitu; ruku’, sujud pertama dan sujud kedua.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Ibrahim M.Yusof - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger
- end blog-outer -->