Kelebihan Dan Tafsiran Surah An-Nas
Surah An-Nas
adalah surah terakhir iaitu yang ke 114 setelah Surah Al
Falaq, dalam Al Quran. Ia terdiri daripada enam ayat dan tergolong dalam
surah Makkiyyah (turun sebelum hijrah). Nama ‘An-Nas’ yang
bermaksud manusia, diambil dari perkataan ‘An-Nas’ yang
disebut pada setiap akhir ayat surah ini.
Surah ini
pendek dan ringkas namun membawa erti mendalam tentang perlunya manusia kepada
Allah sebagai pelindung mutlak daripada kejahatan syaitan durjana. Iaitu ia
menganjurkan manusia memohon perlindungan kepada Allah dari godaan syaitan baik
yang berasal dari golongan manusia mahu pun jin. Surah An-Nas ini juga
adalah penerang hati.
Fadhilat
Surah An-Nas :
Surah ini
adalah bagi menganjurkan manusia memohon perlindungan kepada Allah SWT dari
godaan syaitan baik yang berasal dari golongan manusia mahu pun jin.Surah An-Nas merupakan salah satu ‘Al Mu’awwidzataini’ , iaitu dua surah yang mengandungi permohonan perlindungan.
Surah An-Nas ini juga adalah dianggap surah penenang dan penerang hati.
Surah An-Nas, jika dibaca sebanyak 1000 kali, boleh menjadi pengasih dan daya penarik
Surah An-Nas
Ayat Surah
An-Nas pendek dan ringkas tetapi membawa makna yang mendalam tentang perlunya
manusia kepada Allah SWT sebagai pelindung mutlak daripada kejahatan syaitan
durjana.
Surah ini
mengandungi tiga sifat Allah SWT: ‘Rububiyah’, ‘Mulkiyah’ dan ‘Uluhiyah’.Allah
pengurus, Raja dan ‘Illah’ segala sesuatu. Semuanya adalah makhluk-Nya, di
bawah kerajaan-Nya, dan mengabdi kepada-Nya. Oleh kerana itu, maka Allah
memerintahkan kepada sesiapa saja agar memperlindungkan diri kepada Allah SWT
yang mempunyai 3 sifat agung tadi, dari segala macam bisikan al-khannas, iaitu
syaitan yang akan diwakilkan kepada manusia.
Surah An-Nas
terdiri daripada enam ayat dan terbahagi kepada dua bahagian iaitu
dimana bahagian yang pertama terdiri daripada ayat 1-3 yang memperkenalkan
Allah SWT, manakala bahagian kedua pula merupakan hakikat
syaitan pada ayat 4-6.
BAHAGIAN 1 :
Memperkenalkan Allah SWT.
Dalam 3 ayat
di bawah, Allah diperkenalkan melalui 3 identiti utama iaitu Rabb, Malik dan
Illah. Jika diteliti dari ayat pertama hingga ketiga fokus utama diberi kepada
makhluk bernama manusia…betapa jelasnya kasih sayang dan istimewanya manusia
yang diciptakanNya.
Dengan
ketiga sifat Allah inilah, Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad shalallahu
‘alaihi wasallam dan umatnya untuk memohon perlindungan hanya kepada-Nya dari
keburukan was-was yang dihembuskan syaitan.
Sebuah
pendidikan ‘Rabbani‘, bahawa semua yang makhluk Allah SWT adalah hamba
yang lemah, perlukan pertolongan-Nya. Termasuk Nabi Muhammad shalallahu ‘alaihi
wasallam, Baginda adalah manusia biasa yang perlukan Allah SWT. Sehingga
Baginda adalah hamba yang tidak boleh disembah, bukan tempat untuk meminta
pertolongan dan perlindungan, dan bukan tempat bergantung.
Ayat 1 : Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku
berlindung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia. “
Allah
sebagai ‘Rabb’ bermaksud Dia sebagai Maha Pencipta, Pemilik,
Pemelihara, Penguasa, Pengatur dan Pemberi Rezeki. Dipamerkan kasih dan
sayangNya kepada makhluk ciptaanNya dimana Dia sebagai Tuhan yang menciptakan.
Surah ini
dimulakan dengan suatu perintah agar manusia memohon perlindungan daripadaNya.
Al-Rabb dalam surah ini membawa maksud yang luas termasuk mengarah, menjaga,
membimbing, memelihara dan melindungi. Dengan kefahaman ini, membolehkan kita
merasakan betapa dekatnya Allah SWT dengan kita, Tuhan yang mengenali diri kita
lebih daripada kita mengenali diri sendiri.Pengakuan Allah selaku raja dan sembahan manusia juga sepatutnya membawa rasa takut kita kepada kekuasaanNya yang mempu berbuat apa sahaja. Pada masa yang sama, kita turut diberikan harapan oleh Allah SWT yang rahmatnya tiada terbatas.
Ayat 2 : Raja (Yang menguasai dan memerintah) manusia.
Perkataan ‘Al
Malik’ bermakna Allah sebagai Raja (pemilik dari segala sesuatu yang
ada di alam ini), yang Maha Memimpin, Menjaga, Menguasai dan Hakim
(pengubal undang-undang) untuk manusia. Manusia tidak boleh mengambil
undang-undang lain selain daripada undang-undang ciptaan-Nya.
Allah SWT
sebagai Pemimpin, kita adalah hamba yang dibawah pimpinanNya seperti Raja dan
rakyat, maka segala apa yang dimuka bumi ini adalah tanah Allah, kerajaan Allah
bukan milik sesiapa. Negara ini (tanah yang kita duduki) bukan milik kita
tapi milik Allah, Allah SWT telah mengatur sistem undang-undang yang perlu
dilaksanakan di tanahNya.
Ayat 3
: Tuhan yang disembah manusia.
Tuhan (Al
Ilah) sembahan manusia pula mengandungi erti bahawa Allahlah yang paling
dicintai, yang paling ditakuti dan ditaati, sebagai sumber pengharapan dan
satu-satunya Zat yang berhak disembah dan diibadahi. Tidak ada pergantungan
lain melainkan pergantungan hanya kepada Allah SWT.
Firman Allah
SWT :
Ringkasnya,
implikasi kalimah La Ilaha Illallah ialah seluruh hidup mestilah berterusan di
dalam ubudiyyah kepada Allah SWT. Tiada sebarang pengabdian atau ketaatan yang
berdiri sendiri bahkan semua tindakan, perbuatan dan khidmat yang diberikan
mestilah terpancar dan bersumber daripada ketundukan dan kepatuhan kepada Allah
SWT semata-mata.
BAHAGIAN 2 :
Hakikat Syaitan
Bahagian
kedua surah ini pula menceritakan hakikat syaitan, musuh kita yang lemah pada
azalinya, namun jauh lebih kuat daripada hati-hati manusia yang tidak mengenal
Tuhannya.
Syaitan
tidak mampu berbuat kerosakan, melainkan membisikkan kalimah-kalimah jahat
serta melemparkan hasutan-hasutan pada hati manusia yang mudah alpa. Seterusnya
manusia sendiri yang terpengaruh lalu melakukan kerosakan di dunia dengan
tangan mereka masing-masing. Syaitan juga punya perangai si penakut. Dia hanya
muncul dalam hati mereka yang tidak teguh imannya dan merasa lazat dengan
perlakuan maksiat berterusan serta tidak yakin akan agungNya kekuasaan Allah,
penguasa hari pengadilan.
Ayat 4 : Dari kejahatan (Syaitan) pembisik yang biasa
bersembunyi,
Makna ‘al
was-was’ adalah bisikan, manakala ‘al khannas’ adalah
yang betul-betul tersembunyi, samar dan ‘mundur’.
Syaitan
selalu mengbisikan hasutan-hasutan yang menyesatkan manusia ketika manusia leka
dan lalai dari berzikir kepada Allah SWT. Sebagaimana firman-Nya:
Adapun
ketika seorang hamba berzikir kepada Allah SWT, maka syaitan bersifat ‘khannas’iaitu
‘mundur’ dari perbuatan menyesatkan manusia. Sebagaimana firman-Nya:
Ayat 5
: Yang membisik (kejahatan) ke dalam
dada manusia.
Syaitan
selalu berupaya menghembuskan bisikan dan perasaan was-was kepada manusia.
Mereka menghiasi kebatilan sedemikian indah dan menarik serta mengubah
kebenaran dengan segala yang buruk sehingga seakan-akan yang batil itu nampak
benar dan yang benar itu nampak batil.
Perangai
syaitan ini telah bermula sejak dari zaman Nabi Adam dan isterinya, Hawa
lagi. Sebagaimana dalam firman-Nya:“Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka iaitu auratnya yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, dan syaitan berkata: “Tuhan-mu tidak melarang untuk mendekati pokok ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam al jannah / syurga)”.” (Al A’raf: 20)
Begitu juga
kisah, ketika Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam sedang beri’tikaf.
Shafiyyah bintu Huyay (salah seorang isteri Baginda shalallahu ‘alaihi
wasallam) mengunjunginya pada malam hari. Setelah berbincang beberapa ketika,
maka Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam menghantarkannya pulang ke
kediamannya. Namun perjalanan kedua-duanya dilihat oleh dua orang Al Ansar.
Kemudian syaitan menghembuskan ke dalam hati kedua-duanya perasaan was-was (curiga).
Rasulullah
shalallahu ‘alaihi wasallam melihat gelagat yang kurang baik dari kedua-duanya.
Oleh kerana itu Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam mengejarnya, seraya
bersabda: “Tenanglah kamu berdua, dia adalah Shafiyyah bintu Huyay. Mereka berdua berkata: “Maha Suci Allah wahai Rasulullah. Maka Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya syaitan mengalir di tubuh bani Adam sesuai dengan aliran darah, dan aku pula bimbang dihembuskan kepada kamu sesuatu atau keburukan.” (HR Muslim no. 2175)
Demikianlah
watak syaitan selalu menghembuskan bisikan-bisikan jahat ke dalam hati manusia.
Apalagi Allah SWT dengan segala hikmah-Nya telah mencipta ‘pendamping’ (dari
kalangan jin) bagi setiap manusia, bahkan Rasulullah shalallahu ‘alaihi
wasallam juga ada pendampingnya.
Dari
Abdullah bin Mas’ud r.a kata Rasulullah SAW bersabda:
“Tiada
seorangpun di antara kamu kecuali diberikan seorang ‘qarin’
(pendamping) dari kalangan jin.” Para sahabat bertanya: “Termasuk Tuan
juga ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Ya. Aku juga. Tetapi Allah telah
melindungiku dari godaannya sehingga akhirnya dia masuk Islam (menyerah). Maka
itu dia tidak pernah menyuruhku melainkan kepada kebaikan.” (Hadis Riwayat Muslim).
Ayat 6 : Iaitu dari (golongan) jin dan manusia.
Seterusnya,
Allah mengingatkan kita bahawa yang melakukan bisikan ke dalam dada manusia
tidak hanya dari golongan jin, bahkan di kalangan manusia pun boleh berperanan
sebagai syaitan. Iaitu manusia yang zalim pada manusia lain, pengumpat dan
pemfitnah yang tidak pernah kenyang memamah daging saudara sendiri serta mereka
yang tenggelam dalam nafsu seranah..
“Kaldai Nabi
SAW telah terjatuh, lalu aku mengatakan, “celakalah syaitan” Lalu Nabi
bersabda, “Janganlah kamu katakan ‘celakalah syaitan’ sebab jika kamu
mengatakannya maka syaitan akan menjadi semakin besar tubuhnya dan mengatakan,
’Dengan kekuatanku, aku akan mengalahkannya.’ Namun, apabila kamu mengatakan
‘bismillah’, maka dia akan mengecil sehingga menjadi sekecil lalat.”
(HR. Ahmad)
Hal ini juga
dipertegaskan Allah SWT dalam Firman-Nya :
“Dan
demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari jenis
syaitan-syaitan manusia dan jin, sebahagian mereka membisikkan kepada
sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu
(manusia), dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya.
oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang
kufur dan dusta) itu.” (Surah al-An’am ayat 112)
Firman Allah
SWT :
“Orang-orang
yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir pula
berperang pada jalan Taghut (syaitan). oleh sebab itu, perangilah
pengikut-pengikut syaitan itu. Sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.” (Surah an-Nisa ayat 76)
Ayat di atas
menerangkan bahawa syaitan yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah dari
jenis jin kerana Allah SWT menyebutkan kalimah thaghut. Berdasarkan ayat atas,
ditunjukkan bahawa tipu daya syaitan dari jenis jin tidaklah terlalu kuat
berbanding tipu daya yang dilakukan oleh syaitan jenis manusia.
Maka salah
satu jalan keluar dari bisikan dan godaan syaitan baik dari kalangan jin dan
manusia adalah sebagaimana firman Allah SWT:
“Dan jika
syaitan mengganggumu dengan sesuatu hasutan, maka mohonlah perlindungan
kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha
mengetahui.” (Al-Fushshilat: 36)
Penutup
Maka sudah
sepatutnya bagi kita selalu memohon pertolongan dan perlindungan hanya kepada
Allah SWT semata-mata. Mengakui bahawa sesungguhnya seluruh makhluk berada di
bawah tatacara dan kuasa-Nya. Semua kejadian ini terjadi atas kehendak-Nya. Dan
tiada yang boleh memberikan pertolongan dan menolak mudarat kecuali atas
kehendak-Nya pula.
Semoga Allah
SWT menjadikan kita sebagai hamba-hamba-Nya yang sentiasa meminta pertolongan,
perlindungan dan mengikhlaskan seluruh ibadah hanya kepada-Nya.
Wallahu
A’lam bishowab
(Hanya Allah
Maha Mengetahui apa yang benar)