Berita Terkini :

Home » » Mengapa Ada Larangan Waktu Solat ?

Mengapa Ada Larangan Waktu Solat ?

Setelah mengetahui akan Waktu-Waktu Yang Dilarang untuk mengerjakan solat (di sini), tentu sekali antum ingin mengetahui dan mendapatkan penjelasan akan sebab musabab larangan itu diadakan. Sebahagian umat Islam kurang memahami aspek waktu yang dilarang solat dan sebab larangannya. Maka ramailah yang melakukan solat2 sunat pada kelima2 waktu larangan tersebut dan banyaklah kesalahan dilakukan sehingga berleluasa kesilapannya sehingga melanggar syariat Islam.
(A)Penjelasan Berhubung Larangan Waktu Solat
Berhubung dengan persoalan sebab-sebab larangan tersebut, telah dijelaskan oleh ‘Amr bin ‘Abasah bahawa dia pernah berkata kepada Rasulullah s.a.w, “Beritahulah kepadaku mengenai solat?” Lalu baginda s.a.w menjawab : “Kerjakanlah solat Subuh, kemudian berhentilah dari solat sehingga matahari terbit sehingga ia naik. Sesungguhnya pada ketika matahari terbit, matahari itu terbit di antara dua tanduk syaitan dan pada ketika itu orang-orang kafir sujud kepadanya. Kerjakanlah solat kerana sesungguhnya solat itu disaksi dan dihadiri (Malaikat) sampai bayang-bayang tombak semakin pendek. Kemudian berhenti dari solat pada ketika itu (sewaktu matahari tegak di atas kepala) kerana Neraka Jahannam sedang dipanaskan. Jika bayangan sudah nampak kembali, dirikanlah solat kerana sesungguhnya solat itu disaksi dan dihadiri (Malaikat)  sehingga engkau mengerjakan solat Asar. Berhentilah dari solat sehingga matahari terbenam kerana sesungguhnya matahari itu terbenam di antara dua tanduk syaitan dan pada ketika itu, orang-orang kafir sujud kepadanya.”
(B)Hikmah Larangan Solat Pada Waktu-Waktu Berkenaan                            
Rahsia larangan mendirikan solat oleh syarak pada waktu-waktu berkenaan mempunyai hikmat yang tersendiri. terutamanya bagi mengelak daripada menyerupai penganut agama lain. Waktu ketika matahari terbit itulah, orang2 kafir beribadat menyembahnya.
(01)Menyerupai Para Penyembah Matahari
Di antara jenis ibadat di kalangan manusia kufur kepada Allah s.w.t  ialah ibadat menyembah matahari. Ibadat tersebut dilakukan ketika matahari naik di awal pagi, ketika tengah hari matahari gelincir (zawal) dan ketika matahari jatuh ketika senja. Justeru jika umat Islam mendirikan solat ketika tersebut, ia dianggap menyerupai ibadat para penyembah matahari, kecuali solat qadha dan solat yang bersebab.
(02)Menyerupai Orang Kafir Menyembah Syaitan
Kita dikehendaki untuk memelihara waktu ketika beribadah dan syariat Islam melarang kita menyerupai orang kafir dalam beribadah. Oleh itu, ummat Islam dilarang melakukan solat sunat ketika matahari sedang terbit dan sedang terbenam. Ini disebabkan ketika matahari terbit dan tenggelam, ia berada di antara kedua-dua tanduk syaitan. Maksudnya, pada saat itu orang kafir menyembah matahari dan syaitan bersama mereka. Perkara ini ada dijelaskan di dalam hadis-hadis Nabi s.a.w antaranya hadis daripada Abdullah ash-Shunabiji bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Ketika matahari terbit akan disertai oleh syaitan. Jika matahari telah naik, maka syaitan akan meninggalkannya. Apabila  matahari tepat berada di tengah (waktu Istiwa) maka syaitan akan menyertainya, tetapi jika matahari telah gelincir, maka syaitan akan menjauhinya. Apabila matahari hampir terbenam pula, maka syaitan akan menyertainya dan jika matahari telah terbenam, maka syaitan akan menjauhinya. Di waktu-waktu itulah Rasulullah s.a.w  melarang seseorang mengerjakan solat.” (Hadis riwayat An-Nasaie) 
(03)Neraka Jahannam Sedang Dinyalakan
Syariat Islam juga melarang kita melakukan solat sunat ketika matahari di tengah-tengah langit kerana waktu itu neraka Jahannam sedang marak dinyalakan. Disebabkan hari Jumaat merupakan penghulu hari dan hari perayaan mingguan ummat Islam, maka neraka Jahanam tidak dinyalakan. Dengan itu, syariat Islam membolehkan kita untuk mengerjakan solat sunat di waktu tersebut. Rasulullah s.a.w  bersabda: “Maka sesungguhnya neraka Jahannam dinyalakan pada waktu tengah hari (iaitu ketika matahari berada tepat di tengah-tengah langit).” (Hadis riwayat An-Nasaie). Satu riwayat lagi: “Nabi s.a.w tidak suka mengerjakan solat sunat pada waktu tengah hari kecuali pada hari Jumaat dan Baginda s.a.w bersabda: “Sesungguhnya neraka Jahanam sedang dinyalakan pada waktu itu, kecuali hari Jumaat.”
Abu Daud menyatakan bahawa hadis kedua ini adalah Hadis Mursal, kerana di dalamnya terdapat Laits ibn Abu Sulaim, sedangkan dia seorang yang dhaif. Namun hadis ini dikuatkan oleh perbuatan sahabat Nabi s.a.w  di mana mereka pernah mengerjakan solat sunat di waktu tengah hari pada hari Jumaat dan Nabi s.a.w menganjurkan supaya segera datang menghadiri solat Jumaat dan mendirikan solat sunat hingga imam naik ke atas mimbar tanpa ada pengecualian.
 
(C)Keistimewaan Kota Makkah
Waktu-waktu larangan solat ini sekaligus mengandungi anjuran supaya kita dapat memelihara waktu yang diberkati untuk melaksanakan solat sunat. Jika diteliti melalui perbahasan tentang waktu larangan solat sunat di atas, larangan itu tertakluk kepada semua tempat di muka bumi ini kecuali di Makkah. kerana keistimewaan Kota Makkah yang tidak dimiliki di tempat lain. Kemurnian Islam amat nyata pada pandangan masyarakat umum, antara cara hidup orang yang berlandaskan iman kerana beramal dengan syari’at Islam, dengan golongan yang mencabar syari’at Allah s.w.t . Sesungguhnya Islam mengajar umatnya supaya beribadat dengan caranya sendiri, seperti yang ditegaskan oleh al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Tidak meniru atau menyerupai ibadat agama lain termasuk penyembah matahari. Dengan cara demikian jelaslah perbezaan antara peribadi atau cara hidup orang Islam yang beriman, dengan golongan kafir yang lain.
 
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
 
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Ibrahim M.Yusof - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger
- end blog-outer -->