Berita Terkini :

Home » » Bersugi (Bersiwak)

Bersugi (Bersiwak)


Bersugi, bersiwak, miswaak atau siwak (Bahasa Arab: سواك‎) adalah suatu perbuatan bagi membersihkan mulut dan gigi.

Dari Syaidatina Aisyah r.ha.: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda : “Bersugi itu membersihkan mulut dan mendapat redha dari Tuhannya.”  (Hadis Riwayat Ahmad dan Al Baihaqi )

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w telah bersabda : “Kalau tidaklah akan menyusahkan umatku akan aku suruh mereka bersugi pada tiap-tiap waktu ketika berwuduk.” ( Riwayat Ahmad )

Adalah sunat bersugi pada bila-bila masa tetapi masa yang paling dituntut ialah setelah bangun dari tidur, ketika hendak mendirikan solat, ketika hendak membaca Al-Quran, selepas makan dan ketika berubah bau mulut. Bagi orang yang berpuasa tak kira sama ada puasa fardu (Ramadhan) atau puasa sunat adalah makruh selepas gelincir matahari, iaitu selepas masuk waktu Zuhur.
Dari Abu Hurairah r.a.h. dari Nabi SAW; “Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu disisi Allah SWT itu lebih harum daripada kasturi.”  (Riwayat Muslim)

Manakala pada pendapat Imam Nawawi r.a.h bahawa tidak makruh bersugi bagi orang yang berpuasa sama ada telah gelincir matahari atau belum gelincir matahari.

Daripada ‘Amir bin Rabi’ah, beliau berkata: “Aku melihat Rasulullah bersugi sedangkan beliau berpuasa.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Abu Daud dll).

Alat Untuk Bersugi
Alat untuk bersugi ialah tiap-tiap sesuatu yang suci dan kesat seperti :-
Berus gigi, kayu arak (siwak), rotan, manggar kelapa dan lain-lain.

Cara Bersugi
Bersugi termasuk dari bersuci.Cara perlaksanaan bersugi hendaklah dengan tangan kanan dan dimulakan dengan menggosok bahagian kanan gigi, setelah itu bahagian yang kiri. Seterusnya dilakukan atas langit-langit mulut dengan perlahan-lahan serta ke atas gusi dan gigi. Sebahagian ulama berpendapat bahawa yang lebih afdal adalah dengan tangan kanan. Kerana bersiwak adalah sunnah Nabi SAW, dan sunnah adalah ketaatan kepada Allah SWT, dan ketaatan kepada Allah U tidak layak dilaksanakan dengan yang kiri.

Hal ini sesuai dengan hadis ‘Aisyah: “Adalah menyenangkan Rasulullah untuk memulakan dengan yang kanan ketika memakai sendal, menyikat rambut, ketika bersuci, dan dalam semua keadaan”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Fadhilat Bersugi
Di antara sebab-sebab solat orang yang bersugi itu lebih afdhal dan lebih besar fadhilatnya kerana ia akan mendatangkan lebih khusyuk solatnya serta dapat memelihara pergaulan yang baik di dalam jemaahnya semasa solat dengan bau mulut yang bersih dan harum serta cahaya gigi yang segar.

Para ulama menegaskan bahawa bersugi itu mempunyai tujuh puluh faedah. Antara faedah dan kelebihannya ialah:
Mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Membersihkan dan mengharumkan bau mulut.
Menggandakan pahala amal ibadat.
Menggembirakan malaikat.
Mensucikan hati.
Menguatkan hafalan.
Meningkatkan kecerdikan.
Dapat mencerahkan mata.
Melambatkan tumbuh uban.
Mencegah gigi berlubang
Menolong menguatkan gusi.
Memutihkan dan menguatkan gigi.
Memperlancarkan saluran pernafasan.
Membantu melancarkan sistem pencernaan.
Membetulkan atau meluruskan tulang belakang.
Melancarkan kefasihan atau kepetahan pertuturan.
Dapat mengucapkan Syahadah tatkala hampir ajal.

Sekiranya tidak dapat bersugi pada tiap-tiap waktu yang dituntut, hendaklah ia bersugi sekali dalam sehari.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RadhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku atau ke atas manusia nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali hendak solat.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.w.a bersabda:: “Dua rakaat solat dengan bersugi itu terlebih baik pahalanya daripada tujuh puluh rakaat solat dengan tidak bersugi.” (Riwayat Muslim)

Penutup
Bersugi sentiasa digalakkan tanpa mengira samada puasa ataupun tidak. Adapun galakan bersugi bagi setiap waktu solat yang diriwayatkan dalam hadis yang sahih adalah asas dalam amalan muslim.
Rasulullah s.a.w dalam hadis sahih yang lain menyatakan tujuan bersugi dengan menyebut: “Bersugi itu membersihkan mulut dan menjadikan Tuhan redha.”(Riwayat Ahmad, an-Nasai, Ibn Hibban dll).

Justeru itu, jadikanlah puasa itu menzahirkan keindahan pekerti dalam perkataan dan perbuatan yang mengeratkan hubungan baik sesama masyarakat. Oleh itu jangan jadikan bau mulut kita menimbulkan keresahan orang lain terhadap mereka yang berpuasa. Berpuasa dan bersugilah!

Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)


Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Ibrahim M.Yusof - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger
- end blog-outer -->