Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah melintasi Saad yang sedang berwudhu,
lalu Baginda bertanya: “Mengapa engkau berlebih-lebihan seperti
ini wahai Saad?” Saad bertanya: “Apakah di dalam wudhu juga
ada istilah berlebih-lebihan?” Baginda menjawab: “Benar,
sekalipun engkau berada di sungai yang mengalir.” (Hadis Riwayat Ahmad
r.a.)
Ulasan
Hadis:
Melalui hadis ini, jelas kepada kita bahawa
Rasulullah s.a.w melarang daripada melakukan
pembaziran ketika berwudhuk. Bagaimana pembaziran yang dimaksudkan di dalam
berwuduk?
Kebanyakan daripada kita selalu buka pili
besar-besar sehingga air keluar dengan laju dan deras ketika ambil wuduk,
sampaikan basah pakaian. Sepatutnya kita hendaklah mengelakkan pembaziran. Buka
air perlahan ketika mengambil wuduk dan insyaALLAH boleh sempurna. Jangan
membazir kerana membazir itu amalan syaitan!
Amalan membazir ini telah dinyatakan dalam
Al-Quran dan amat dilarang Allah سبحانه وتعالىhingga orang yang membazir itu disamakan dengan saudara
syaitan.
Firman Allah (maksudnya)
“Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah
saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat
27).
Sebenarnya kerana kejahilan, kita tidak rasa
kita sedang melakukan dosa. Orang yang membazir termasuk melakukan dosa dan ia
sudah pasti menjejaskan tumpuan dan khusyuk ketika solat. Kerana solat yang
khusyuk itu bermula daripada keadaan wuduk yang dilakukan dengan baik dan
sempurna. Wudhuk sebenarnya untuk membersihkan rohani serta jasmani tetapi jika
ketika membersih dalam masa yang sama ‘mengotorkan’ dengan amalan pembaziran
dibimbangi akan mengganggu kualiti solat. Kemungkinan antara penyebab kita solat
tetapi masih lagi tidak berubah kepada kebaikan adalah kerana perbuatan
membazir ini. Sebagaimana yang kita sedia maklum Islam melarang keras umatnya
mengamalkan cara hidup membazir dalam semua urusan yang berkaitan dengan
penggunaan air, perbelanjaan harta, pengurusan masa dan penggunaan tenaga.
Perbuatan membazir adalah tabiat buruk manusia yang sering terjadi apabila
mereka dikurniakan rezeki atau nikmat yang banyak. Secara tidak langsung kita
telah menggunakan rezeki yang datang daripada Allah سبحانه وتعالىini secara tidak wajar dan bukan pada tempat
yang sepatutnya.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya
orang yang paling baik antara kamu adalah orang yang paling baik budi
pekertinya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Justeru, kita hendaklah memerhatikan setiap
perbuatan kita, jangan sampai perkara pahala bertukar menjadi haram disebabkan
kelalaian kita terhadap urusan agama.